3,754 calon duduki SPM di Perlis - Utusan Malaysia

3,754 calon duduki SPM di Perlis

NAHARUDEEN Othman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Penangguhan dua kali peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum ini berikutan pandemik Covid-19 sedikit sebanyak memberi kesan kepada para calon, namun, guru-guru telah memainkan peranan cukup berkesan dalam menaikkan kembali semangat pelajar.

Pengarah Pendidikan negeri, Naharudeen Othman berkata, pihaknya ada berjumpa dengan calon-calon sebelum ini bagi mengetahui persediaan dan sejauh mana semangat mereka dalam menghadapi SPM.

Katanya, pandemik Covid-19 menjadi satu tempoh yang cukup mencabar buat para pelajar khususnya bagi mereka yang menghadapi peperiksaan besar.

“Kami ada berjumpa dengan calon-calon sebelum ini kerana mereka ini adalah kumpulan yang istimewa dan kami risau semangat juang mereka luntur.

“Saya berharap mereka (calon) dapat melakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan demi masa depan selain demi ibu bapa dan guru-guru yang telah banyak berkorban untuk memastikan mereka dapat belajar sepanjang tempoh yang mencabar ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Naharudeen memberitahu, seramai 3,754 calon menduduki SPM di seluruh negeri ini membabitkan 36 pusat peperiksaan termasuk satu di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,198 calon dari sekolah harian biasa; maktab rendah sains Mara (267), kolej vokasional (88), sekolah swasta (108) dan calon persendirian ( 93). 

“Sementara itu, kita mempunyai seorang calon yang mengambil peperiksaan di hospital. Bagaimanapun, calon tersebut tidak ada kaitan dengan kes Covid-19 tetapi telah terlibat dalam kemalangan.

“Berkaitan calon yang dijangkiti Covid-19 pula saya tidak boleh maklumkan di sini kerana sudah ditetapkan bahawa Pusat Kesihatan Daerah sahaja yang boleh memaklumkan calon yang terlibat,” katanya.

Tambahnya, seramai 283 petugas yang terdiri daripada guru sekolah rendah dan menengah bertugas sepanjang tempoh peperiksaan ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya