PUTRAJAYA: Malaysia kembali mencatatkan kes positif sebanyak 3,545 kes mengatasi kes sembuh iaitu 3,331 kes dengan 12 kematian dan lapan kluster.
Peningkatan kes positif menjadikan keseluruhan kes sebanyak 291,774 kes manakala kumulatif kes sembuh pula, 260,009 kes manakala kes aktif pula, sebanyak 30,677 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 189 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 88 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Katanya, peningkatan kes positif turut menyaksikan Negeri Sembilan menjadi negeri tertinggi merekodkan kes melebihi 1,000 kes iaitu sebanyak 1,392 kes di mana ia berpunca dari Kluster Industri Sungai Gadut yang melaporkan 1,338 kes melibatkan kilang pembuatan produk kayu yang terletak di Kawasan Perindustrian Sungai Gadut KM 11, Seremban.
“Selangor pula menjadi negeri kedua tertinggi apabila merekodkan sebanyak 581 kes diikuti Kuala Lumpur, 381 kes; Sarawak, 353 kes; Johor, 318 kes; Perak, 188 kes dan Sabah, 105 kes.
“Baki negeri merekodkan kes dua angka, Pulau Pinang, 95 kes; Kelantan, 53 kes; Melaka, 26 kes; Terengganu, 22 kes; Kedah, 17 kes manakala Pahang, lapan kes; Labuan, lima kes; Putrajaya, satu kes dan Perlis, sifar kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai 12 kematian, Dr. Noor Hisham berkata, ia melibatkan tujuh kes di Kuala Lumpur, dua kes di Selangor manakala Sabah, Terengganu, dan Pulau Pinang, masing-masing satu kes di mana 11 kes kematian adalah warga tempatan dan satu warga asing.
Katanya, lapan lelaki termasuk seorang warga asing dan empat wanita berusia antara 52 hingga 98 tahun.
“Seramai empat orang di Kuala Lumpur tidak mempunyai latar belakang penyakit iaitu dua lelaki warga tempatan berusia 62 dan 90 tahun dan seorang lelaki warga asing berusia 52 tahun manakala seorang wanita warga tempatan berusia 98 tahun.
“Manakala kes lain pula, mempunyai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, dislipidemia, gout, strok, buah pinggang kronik dan jantung,” katanya.
“Selain Kluster Industri Sungai Gadut, Negeri Sembilan yang juga kluster berkaitan tempat kerja, beliau berkata, tujuh kluster berkaitan tempat kerja iaitu tiga di Johor, dua di Pulau Pinang, satu di Selangor dan Perak manakala kluster komuniti, satu di Sabah.
Katanya, Kluster Jalan Ulu Choh di Pontian, sebanyak 34 kes dari 190 individu serta Kluster Perindustrian Lukut di Kota Tinggi, sebanyak 28 kes dari 239 individu dan Kluster Jalan Dato Yunus di Johor Bahru, sebanyak lapan kes dari 30 individu.
“Pulau Pinang pula, Kluster Lorong Bakau di Seberang Perai Selatan, sebanyak 50 dari 297 individu dan Kluster Vista Hilir melibatkan Timur Laut dan Barat Daya, sebanyak 154 individu telah disaring, di mana 35 kes dikesan positif,” katanya.
“Kluster Pasar Bidor di Batang Padang, Perak, sebanyak 25 kes dari 112 individu dan Kluster Jalan Enam di Petaling, Selangor, sebanyak 173 individu telah disaring, di mana 15 kes positif,” katanya.
Tambahnya, Kluster Sinsingon adalah kluster komuniti di Nabawan, Sabah yang melibatkan satu majlis pengebumian di mana seramai 106 individu telah disaring, dan 18 kes telah dikesan positif. – UTUSAN ONLINE