JOHOR BAHRU: Seramai 320 keluarga berbilang bangsa dari Mukim Machap, Kluang dekat sini menerima kurniaan barangan keperluan makanan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).
Bantuan tersebut disampaikan oleh Mejar Cina, Datuk David Wong diiringi ketua penyelarasnya, Desmond Lee kepada Penghulu Mukim Machap, Ahmad Farhan Abu Bakar.
Ahmad Farhan berkata, beliau mewakili penduduk di situ menghargai kurniaan Sultan Johor di atas pemberian bantuan kepada keluarga-keluarga berkenaan.
“Pihak pentadbiran Mukim Machap menjunjung kasih atas keprihatinan baginda terhadap kebajikan rakyat,” katanya seperti dilaporkan Royal Press Office (RPO) hari ini.
Terdahulu, Sultan Ibrahim turut berkenan menyampaikan kurniaan barangan keperluan makanan dan sumbangan peribadi sempena sambutan Tahun Baharu Cina kepada 96 pelajar di tiga sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di daerah ini.
Penerima bantuan membabitkan murid-murid SJKC Johor Jaya, SJKC Foon Yew 2 dan SJKC Pei Hwa.
Guru Besar SJKC Foon Yew 2, Loo Chun Huang berkata, dia bersyukur dengan kurniaan Sultan Ibrahim kepada pelajar serta keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Patik menjunjung kasih kepada Sultan Johor kerana mengurniakan bantuan kepada rakyat Johor tanpa mengira kaum”, katanya.