318 warga IPK Johor positif Covid-19 sejak tahun lalu - Utusan Malaysia

318 warga IPK Johor positif Covid-19 sejak tahun lalu

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 318 warga Ibu pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor positif Covid-19 melibatkan 26 pegawai, 158 anggota, 23 kakitangan awam dan 111 ahli keluarga sejak tahun lalu sehingga kini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, seramai 304 individu lagi sudah dikuarantin melibatkan 56 pegawai, 152 anggota, 47 kakitangan awam dan 49 ahli keluarga yang terlibat.

“Secara keseluruhan, seramai 622 individu sudah dikuarantin sejak tahun lalu sehingga kini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini hari ini.

Sementara itu, Ayob Khan mengesahkan terdapat 39 kakitangan pusat pentadbiran awam di Bukit Senyum di sini positif Covid-19, baru-baru ini membabitkan Kluster Jalan Tebrau Khas.

Beliau berkata, ia dikesan daripada seorang individu pada 7 Februari lalu sebelum ujian saringan terhadapnya mendapati positif pandemik berkenaan.

“Setelah individu itu disahkan positif Covid-19 pada 10 Februari, kita membuat pengesanan kontak rapat kepada individu berkenaan.

“Susulan itu kita mendapati 38 individu lagi positif Covid-19 yang merupakan kluster dari pejabat tersebut,” katanya.

Dalam pada itu Ayob Khan berkata, pihaknya masih menunggu laporan pengesanan cap jari suspek membabitkan siasatan kes empat penjenayah ditembak mati di Kilometer 6 Jalan Pagoh-Parit Sulong, di Batu Pahat pada Jumaat lalu.

Jelas beliau, laporan tersebut penting untuk memastikan latar belakang penjenayah warga asing itu selain memeriksa sama ada mereka turut terlibat dalam aktiviti pecah kilang dan pejabat di daerah lain selain Batu Pahat.

“Ini termasuk juga sama ada mereka terlibat kes pecah kilang dan pejabat di negeri lain juga. Laporan cap jari akan memakan masa, nanti kita akan maklumkan, tiada apa yang akan disembunyikan,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 3.15 pagi, sepasukan pegawai dan anggota polis menahan sebuah kenderaan Toyota Avanza dan Perodua Myvi yang dinaiki empat lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Ketika polis mahu membuat pemeriksaan, pemandu Toyota Avanza bertindak agresif apabila mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis sebelum polis melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya