28 kes direkodkan guna peralatan elektrik tidak selamat - Utusan Malaysia

28 kes direkodkan guna peralatan elektrik tidak selamat

ABDUL RAZIB (atas) dan Dr. Ahmad Fadzil ketika melancarkan kempen tersebut di aplikasi Zoom, hari ini.-UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Suruhanjaya Tenaga (ST) merekodkan 28 kematian melibatkan penggunaan peralatan elektrik yang tidak diiktiraf tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Razib Dawood berkata, selain kematian, pihaknya juga mencatatkan 17 kes kemalangan melibatkan peralatan yang tidak diiktiraf pihaknya dan SIRIM Bhd.

“Bagaimanapun, purata kadar kes kemalangan elektrik per sejuta penduduk bagi tempoh lima tahun secara keseluruhannya menunjukkan trend penurunan daripada 2.77 (2006-2010) kepada 2.03 ( 2011-2015) dan seterusnya kepada 1.78 bagi 2016 hingga 2020. 

“Ini adalah disebabkan kesedaran orang ramai yang semakin menitik berat aspek keselamatan dalam penggunaan peralatan elektrik sebelum membelinya,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kempen kawal penjualan peralatan elektrik yang tidak diperakui secara dalam talian melalui aplikasi video, Zoom hari ini.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani, Presiden Persatuan Pengedar Peralatan Elektrik Malaysia (MEADA), Vincent Chew dan Presiden Persekutuan Peniaga Peralatan Elektrik Malaysia (FOMEDA), Gan Cheng Swee.

Dalam pada itu, Abdul Razib berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang didapati menjual peralatan elektrik yang tidak selamat untuk dipakai.

“Mereka boleh disiasat mengikut Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100, 000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai kempen tersebut, Dr. Ahmad Fadzil berkata, prorgam kali akan berlangsung selama tiga bulan bermula Februari ini dengan kerjasama ST, MEADA dan FOMEDA.

“Kempen tersebut dijalankan bagi memberi kesedaran kepada orang awam mengenai kepentingan membeli peralatan elektrik yang mempunyai pensijilan daripada SIRIM Berhad serta Perakuan Kelulusan (COA) daripada ST.

“Kita dapati masih ramai peniaga secara talian yang menjual barangan elektrik yang tiada label SIRIM-ST atau mempunyai tanda pensijilan SIRIM Berhad. Oleh demikian, kita menasihatkan supaya pembeli hanya menjual peralatan yang telah diiktiraf demi keselamatan pengguna,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN