259 dikenal pasti kontak rapat Kluster ‘calon SPM’ - Utusan Malaysia

259 dikenal pasti kontak rapat Kluster ‘calon SPM’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seramai 64 individu disahkan positif Covid-19 susulan tercetusnya Kluster Pangkal Changgong di Machang yang turut melibatkan 41 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah berasrama, semalam.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Hussin berkata, dalam kes awal direkodkan semalam, seramai 57 individu termasuk 41 calon SPM terbabit disahkan positif Covid-19.

Susulan kes awal itu katanya, 259 individu terdiri daripada guru, ibu bapa dan keluarga pelajar sekolah tersebut yang dikenal pasti sebagai kontak rapat telah menjalani ujian saringan Covid-19.

“Hari ini, tujuh lagi kontak rapat disahkan positif menjadikan jumlah individu dijangkiti pandemik itu seramai 64 orang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Dr. Izani dalam pada itu memberitahu, jangkitan wabak tersebut dipercayai berpunca daripada komuniti luar iaitu sebelum para pelajar melapor diri di asrama untuk membuat persediaan menduduki SPM.

Beliau turut memberi jaminan Kluster Pangkal Changgong setakat ini terkawal kerana kesemua pelajar sudah dikuarantin dan tidak lagi mempunyai kontak rapat dengan orang luar.

Semalam, tular dalam media sosial klip video memaparkan 41 calon SPM di sebuah sekolah berasrama di Pangkal Changgong dibawa menaiki bas untuk menjalani kuarantin di Dewan Jubli Perak dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) selepas disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, pihak pengurusan sekolah ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, jumlah pelajar yang bakal menduduki SPM di sekolah tersebut adalah seramai 145 orang, namun, enggan mengulas lanjut. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya