KOTA BHARU: Penutupan sekolah-sekolah akibat penularan pandemik Covid-19 menyebabkan sekurang-kurangnya 214 pengusaha bas dan van sekolah di negeri ini hilang punca pendapatan dan jatuh ‘terlingkup’.
Keadaan itu memaksa segelintir daripada mereka menjual kenderaan masing-masing demi kelangsungan hidup keluarga selain tidak mampu membayar ansuran bulanan kepada pihak bank.
Malah Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Kelantan, Wan Mohd. Nuhairi Wan Hamat berkata, ada rakannya yang benar-benar terdesak sehingga sanggup menjual van sekolah kepada pembeli besi buruk dengan harga antara RM5,000 hingga RM7,000.
“Saya sendiri sudah cari kerja lain termasuk bekerja dengan sebuah syarikat penghantaran, namun, hanya mampu bertahan selama dua minggu sahaja.
“Kami merayu kepada pihak bank untuk memberi sedikit kelonggaran kerana rata-rata pengusaha bas dan van sekolah juga berdepan dengan masalah bayaran ansuran yang tertunggak berbulan-bulan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika hadir ke Program Sumbangan Musaadah Pemandu Bas dan Van Sekolah di kawasan depoh milik Asiajaya Travel Sdn. Bhd., Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Dalam program itu, kesemua 214 pengusaha bas dan van sekolah terbabit menerima bakul makanan sumbangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood secara pandu lalu.
Yang turut hadir, Pengarah Yadim Kelantan, Mahadi Awang.
Mengulas lanjut, Wan Mohd. Nuhairi, persatuan sudah sedia maklum dengan keluhan ahli yang tertekan ekoran keadaan itu, namun, pihaknya tidak dapat membantu kerana tiada peruntukan untuk menyalurkan bantuan.
“Di negeri lain, kerajaannya ada memberi bantuan one off sebanyak RM600 kepada pengusaha bas dan van sekolah yang terkesan bagi meringankan beban mereka. Jadi, saya berharap kerajaan Kelantan juga dapat membantu kami,” katanya. -UTUSAN ONLINE