HULU TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menerima 2,096 aduan berkaitan pelbagai isu membabitkan kepenggunaan sepanjang Januari lalu.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,635 aduan telah diambil tindakan manakala 461 aduan lagi masih dalam siasatan.
Katanya, berdasarkan perangkaan itu, transaksi dalam talian mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 794 aduan diikuti perkhidmatan mengelirukan (384 aduan), harga barang (376 aduan) di samping iklan mengelirukan (78 aduan).
“Aduan paling tinggi diterima dari Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.
“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) menyebabkan kaedah pembelian dalam talian menjadi pilihan rata-rata pengguna dan secara tidak langsung timbul kesilapan atau kekurangan sewaktu berurus niaga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan khas barangan makanan kepada penduduk terjejas Covid-19 di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Terengganu di Kampung Bukit Tokbat di sini hari ini.
Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu turut menasihatkan pengguna agar lebih berhati-hati terutama ketika berurusan melalui media sosial seperti aplikasi WhatsApp, Instagram atau Facebook.
Katanya, orang ramai diminta meneliti terlebih dahulu maklumat peniaga sebelum melakukan apa-apa transaksi dan usah terpedaya dengan tawaran harga murah.
“Di samping itu, adalah penting untuk pengguna menyimpan resit dan bukti pembelian bagi memudahkan tindakan diambil kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab,” katanya.