2,000 petugas HSB penerima awal vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

2,000 petugas HSB penerima awal vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR:  Lebih  2,000 pegawai dan kakitangan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini bakal menjadi antara petugas barisan hadapan yang pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, semua persediaan termasuk daripada segi logistik bagi memastikan vaksin tersebut sentiasa berada dalam keadaan terbaik berjalan lancar.

Katanya, pemberian vaksin perlu melalui kaedah yang betul termasuk daripada segi penyimpanannya iaitu perlu disimpan pada suhu -80 darjah celcius untuk bertahan dalam jangka masa panjang.

“Jika disimpan dalam suhu antara dua hingga lapan darjah celsius, vaksin tersebut hanya mampu bertahan dalam tempoh lima hari. 

“Oleh itu di Kedah, vaksin tersebut akan disimpan di stor negeri yang mempunyai suhu -80 darjah celsius terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat berhubung ujian klinikal vaksin di HSB di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah HSB, Dr. Zaiton Udin serta pakar perunding perubatan hospital tersebut, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan.

Beliau berkata, pusat kesihatan kemudian perlu mengambil vaksin tersebut dari stor negeri sebelum suntikan diberikan kepada penerima. 

“Jadi, hal logistik merupakan antara perkara yang amat diberi perhatian kerana kita tidak mahu vaksin itu rosak akibat perubahan suhu,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Mohd. Hayati, kalangan sukarelawan yang menjalani ujian klinikal vaksin di negeri ini, kini, berada dalam keadaan baik tanpa berdepan sebarang masalah.

“Saya tidak boleh dedahkan butirannya termasuk berapa ramai yang mengikuti ujian tersebut kerana perkara itu menyalahi etika perubatan.

“Namun, berdasarkan laporan diterima, kita menerima maklum balas yang cukup baik daripada semua pihak dan tiada kesan yang tidak menggembirakan daripada ujian dijalankan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN