BATU PAHAT: Kira-kira 38 tahun lalu, 20 buah keluarga di Kampung Bukit Taman Bandar, di sini mula mendiami dan membesar di kawasan tersebut yang hakikatnya merupakan tanah milik kerajaan dan berada dalam rizab hutan simpan.
Meskipun sedar perkara itu tetapi, mereka tidak punya pilihan untuk berpindah ke kediaman yang lebih sempurna atau tiada masalah dengan isu pemilikan kerana rata-ratanya adalah golongan yang berada dalam kategori B40.
Kini, kerisauan mereka telah menjadi kenyataan apabila terdengar ‘bunyi-bunyi’ bahawa mereka perlu mengosongkan tanah seluas kira-kira setengah ekar itu bagi memberi laluan kepada pembangunan tanah kubur Bukit Cermai, di sini.
Penduduk, Zalifah Ali, 38, berkata, mereka merayu ihsan kerajaan negeri bagi membolehkan penduduk memiliki hak milik tanah yang telah diduduki sejak sekian lama di situ.
“Sejak kecil saya dibesarkan di kampung ini dan kami mohon pihak berkuasa supaya mengambil berat nasib penduduk di kawasan ini.
“Rata-rata penduduk bukan orang senang dan terletak dalam kategori B40, rumah yang ada ini pun dibina mengikut kemampuan masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Zalifah berkata, sekiranya kerajaan tidak membenarkan permohonan untuk mendapatkan hak milik geran tanah untuk rumah itu, mereka berharap dapat diberikan pampasan rumah yang bersesuaian jika tetap diminta keluar suatu hari nanti.
Seorang lagi penduduk, Saadon Ismail, 54, berkata, mereka meneroka kaki bukit tersebut sejak berpuluh tahun lalu dan sehingga sekarang masih mendiami kawasan tersebut.
“Kami memahami bahawa tanah ini adalah hak milik kerajaan, namun mengharapkan belas ihsan pemimpin untuk membantu kami memiliki kediaman yang ada geran dan lebih sempurna,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Biro Kebajikan Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram, Mohd. Hamidi Mad Tap berkata, pihaknya sudah mengajukan masalah itu kepada pihak atasan dan cuba untuk membantu penduduk berkenaan.
“Kami sedang mencuba sedaya-upaya untuk membantu kerana memahami kepentingan kediaman tetap kepada setiap keluarga ini tanpa perlu risau jika dikehendaki berpindah pada bila-bila masa,” katanya. -UTUSAN ONLINE