TANAH MERAH: Cubaan dua lelaki warga emas berusia 64 tahun menyeludup sejumlah 500 liter petrol ke negara jiran digagalkan pasukan penguat kuasa di Pengkalan Haram Nurut, Bukit Bunga, dekat sini semalam.
Kegiatan mereka dikesan sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tanah Merah dan anggota Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kira-kira pukul 8 pagi.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDNHEP Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir berkata, ketika anggota ATM sedang melakukan rondaan di kawasan tersebut, dua kenderaan jenis Proton Wira dan Proton Iswara diliihat dalam keadaan mencurigakan di situ.
Katanya, mereka juga mendapati dua lelaki warga emas sedang berusaha memunggah tong-tong plastik dipercayai berisi petrol dan dua kereta berkenaan lalu segera menghampiri mereka untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan, sebanyak 50 tong mengandungi 500 liter petrol ditemukan dengan nilai keseluruhan RM1,177.30 dipercayai akan dibawa ke negara jiran melalui pengkalan haram.
“Kita turut menyita dua kenderaan dinaiki mereka yang dianggarkan bernilai RM2,500 setiap satu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Beliau dalam pada itu berkata, kedua-dua suspek berkenaan ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“KPDNHEP akan sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan barang kawalan ke negara jiran,” katanya.- UTUSAN ONLINE