2 ahli Parlimen PKR tinggalkan parti, sokong kerajaan PN - Utusan Malaysia

2 ahli Parlimen PKR tinggalkan parti, sokong kerajaan PN

MUHYIDDN Yassin menegaskan menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua Ahli Parlimen PKR yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali gus meninggalkan PKR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua ahli Parlimen PKR yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali gus meninggalkan PKR.

Perdana Menteri berkata, dua SD terbabit dibuat oleh Ahli Parlimen Julau, Sarawak, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon.

“Mereka menandatangani SD dan menyerahkan kepada saya selepas sesi pemukiman Kabinet sempena setahun kerajaan PN di Putrajaya.

“Alhamdulillah, sokongan ini tentunya akan mengukuhkan lagi kerajaan PN dalam usaha dan perancangan untuk mengurus pandemik Covid-19 serta memangkin kebangkitan semula ekonomi negara,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik dalam Facebook beliau hari ini.

Pertemuan itu turut disertai Menteri Dalam Negeri merangkap Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Hamzah Zainuddin; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) merangkap Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Zuraida Kamaruddin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendakwa Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin yang hanya disokong 110 ahli Parlimen daripada 222 kerusi.

Menurut beliau, jumlah itu selepas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub tidak lagi menyokong Muhyiddin yang sekali gus keadaan itu menyebabkan kerajaan PN tumbang kerana hilang majoriti.

Beliau berkata, berdasarkan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan, ahli Dewan Rakyat ada 222 orang tetapi dua ahli Parlimen meninggal dunia iaitu Ahli Parlimen Batu Sapi di Sabah dan Ahli Parlimen Gerik, Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN