18,000 kg kubis panjang berserangga perosak dirampas  - Utusan Malaysia

18,000 kg kubis panjang berserangga perosak dirampas 

ANTARA kubis yang dirampas MAQIS Selangor di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor, Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELABUHAN KLANG: Sebanyak 18,000 kilogram (kg) kubis panjang yang dimport dari Vietnam dirampas selepas didapati mempunyai serangga perosak di Pelabuhan Klang Barat di sini, Rabu lalu.

Rampasan bernilai RM44,575 itu dilakukan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kira-kira pukul 11 pagi.

Pemangku Pengarah MAQIS Selangor, Zamri Hashim berkata, kesemua rampasan itu hasil pemeriksaan rutin terhadap kontena di pelabuhan berkenaan.

“Kita kemudian menahan sebuah kontena membawa muatan kubis panjang dipercayai dari Vietnam.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sayuran berkenaan mempunyai serangga perosak jenis ‘Plutella Xylostella’,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Perbuatan mengimport tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma yang mempunyai bahan perosak dan berpenyakit merupakan satu kesalahan mengikut akta tersebut,” katanya.

 Tambah Zamri, pihaknya sentiasa menjalankan pemeriksaan rapi bagi memastikan keluaran pertanian yang diimport ke negara ini bebas daripada ancaman perosak.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya