18 lokasi geotapak Lembah Kinta selamat - Utusan Malaysia

18 lokasi geotapak Lembah Kinta selamat

NOLEE ASHILIN MOHAMED RADZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Semua 18 lokasi geotapak Geopark Lembah Kinta tidak tersenarai dalam 30 lokasi gua batu kapur yang terbabit dalam aktiviti kuari di Lembah Kinta dan masih selamat serta terpelihara daripada sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan kedudukannya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, kedudukan kesemua 18 geotapak berkenaan akan terus dipelihara selagi menjadi tarikan pelancong.

“Aspek keselamatan juga menjadi salah satu elemen yang dititikberatkan oleh kerajaan negeri supaya pelancong berasa selamat apabila berkunjung ke lokasi geotapak tersebut.

“Seperti yang telah dijelaskan oleh kenyataan akhbar Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad pada 8 Februari lalu, kerajaan negeri menitikberatkan aspek pemulihan kuari di mana kerajaan telah menggubal Dasar Mineral Negeri Perak dengan menumpukan elemen pemulihan.

“Pelan ini akan memastikan walaupun sektor berkenaan diteruskan tetapi tetap dipelihara dan dipulihara supaya mampu menyumbang sesuatu kepada sektor pelancongan,” katanya pada sidang akhbar secara maya yang turut disertai Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Datuk Ahmad Zukni Ahmad Khalil melalui aplikasi Zoom di sini hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Gunung Lanno yang mempunyai ketinggian lebih 370 meter berusia lebih 330 juta tahun dibimbangi lenyap daripada peta Perak akibat aktiviti kuari di kawasan Simpang Pulai dekat sini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN