173 mualaf terima bantuan Maidam - Utusan Malaysia

173 mualaf terima bantuan Maidam

M. Rozi Bidin (kiri) menziarahi mangsa kebakaran, Mohd. Johan Sidek (kanan) di Kampung Merbau Patah di Kuala Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Bagi meringankan bebanan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 173 golongan mualaf di negeri ini bakal menerima bantuan khas.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), M. Rozi Bidin berkata, bantuan membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM59,000 itu akan disalurkan melalui akaun penerima secara berperingkat mulai hari ini.

Katanya, berdasarkan perancangan awal sumbangan itu dijadualkan dibayar pada akhir bulan ini tetapi diawalkan sebagai tanda keprihatinan terutama bagi membolehkan mana-mana saudara baharu membuat persiapan meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga mereka.

“Walaupun berlainan agama, tetapi mereka juga perlu membuat persediaan membeli barangan keperluan untuk menyambut raya bersama keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kecemasan Maidam sebanyak RM3,000 kepada mangsa kebakaran, Mohd. Johan Sidek, 49, di Kampung Merbau Patah di sini.

Dalam pada itu M. Rozi berkata, Maidam juga akan membuat pembayaran awal bagi bantuan bulanan kepada 2,195 golongan asnaf dan fakir miskin di negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM761,500.

Katanya, pendekatan sama akan turut dilakukan kepada golongan asnaf yang menerima bantuan di bawah kategori sara hidup.

“Sejak awal Januari lalu kita sudah meluluskan bantuan sara hidup kepada seramai 1,399 ketua isi rumah membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.7 juta,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN