17,000 pelajar sedia duduki SPM minggu hadapan - Utusan Malaysia

17,000 pelajar sedia duduki SPM minggu hadapan

MD. Fiah Md. Jamin menyerahkan surat pelantikan kepada salah seorang guru baharu sekolah rendah dan menengah di negeri ini yang diadakan secara pandu lalu di SK Bandar Seri Sendayan, Seremban, hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 17,000 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di negeri ini pada 22 Februari ini dilaporkan sihat dan bersedia.

Pengarah Pendidikan negeri, Md. Fiah Md. Jamin berkata, bilik peperiksaan juga kini sedang di peringkat akhir persediaan termasuk daripada segi penyediaan Prosedur Operasi Standard (SOP) supaya peperiksaan berkenaan berjalan dengan lancar.

“Kesemua pelajar berkenaan sihat dan baik dan saya yakin mereka bersedia untuk menduduki peperiksaan minggu depan. 

“Insya-Allah!, kami sedang menyediakan bilik peperiksaan dan persediaan dengan SOP, kami harap peperiksaan SPM dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar. Taklimat juga akan diberikan oleh pengarah peperiksaan pada petang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyerahan Surat Pelantikan dan Amanat Pengarah Kepada Guru Baharu Sekolah Menengah dan Rendah Bilangan 1/2021 yang diadakan secara pandu lalu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Seri Sendayan dekat sini hari ini. 

Pada majlis tersebut, seramai 79 guru sekolah menengah dan 12 guru sekolah rendah di seluruh negeri ini menerima surat pelantikan guru baharu hari ini. 

Sementara itu, tambah Md.Fiah, pihaknya juga bersedia dengan SOP yang ketat yang telah disediakan Kementerian Pendidikan bagi memastikan peperiksaan SPM berjalan dengan lancar. 

“Kami memang ada berhubung rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pematuhan SOP. Saya juga menasihatkan semua calon SPM agar menjaga kesihatan bagi membolehkan mereka dapat menjalani peperiksaan dengan baik,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, tiada laporan yang diterima daripada guru-guru di negeri ini mengenai kesukaran dalam menjalankan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR). 

“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang laporan. Bagaimanapun, saya menjangkakan ada segelintir kecil guru yang berada di kawasan kampung mengalami masalah ketika PdPR,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN