PUTRAJAYA: Seramai 1,617 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menduduki peperiksaan itu di Putrajaya, bermula hari ini
Memberitahu Utusan Malaysia, Kementerian Pendidikan berkata, ia melibatkan 11 pusat peperiksaan dengan seramai 277 guru pengawas yang bertugas.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar sekolah di sini mendapati, semua pelajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebelum memasuki kawasan sekolah.
Para pelajar dikehendaki memeriksa suhu badan dan mematuhi penjarakan fizikal ketika berbaris memasuki dewan peperiksaan.
Guru-guru turut membantu membuat pemantauan rapi pergerakan pelajar agar mereka mematuhi SOP yang ditetapkan.
Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Kebiasaan Baharu 2.0 pada 9 Februari lalu.
Seramai 401,105 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2020 di 3,310 pusat peperiksaan seluruh negara bermula sehingga 25 Mac ini.
Hanya pelajar yang benar-benar sihat dibenarkan hadir menduduki peperiksaan dan mana-mana pelajar yang didapati positif Covid-19 atau perlu dikuarantin kerana kontak rapat kepada kes positif perlu mengambil peperiksaan pada sesi penjadualan semula.