160,000 pekerjaan baharu diwujudkan - Utusan Malaysia

160,000 pekerjaan baharu diwujudkan

PENINGKATAN tawaran pekerjaan pada suku kedua tahun ini, petanda ekonomi negara di landasan pemulihan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 160,000 pekerjaan baharu bakal diwujudkan bagi tahun ini melalui komitmen pelaburan dan koordinasi rapat antara kerajaan dan industri.

Perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat kedua Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara sidang video hari ini.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, kerajaan mengalu-alukan tawaran Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Persatuan Pengusaha Kecil Dan Sederhana Malaysia untuk bekerjasama bagi mengatasi kadar pengangguran melalui inisiatif di bawah Belanjawan 2021 terutamanya peningkatan kemahiran dan pendigitalan.

“NEC disokong oleh Pasukan Petugas Peringkat Tertinggi dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali yang bersidang sebanyak dua kali, melibatkan penyertaan pihak akademia dan swasta termasuk wakil golongan pekerja, belia, persatuan dan dewan perniagaan.

“Pasukan Petugas Khas (STF) telah membentangkan strategi bagi menangani isu pengangguran dan ketidaksepadanan pekerjaan bagi mencapai objektif antaranya, pemadanan modal insan berdasarkan permintaan industri.

“Antara objektif lain ialah meningkatkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan memperkasakan kerjasama di antara pihak akademik dan industri,” katanya hari ini.

Mesyuarat kali kedua ini dihadiri 10 tokoh daripada sektor korporat, industri dan pendidikan yang telah dilantik secara tetap iaitu Pengerusi Petronas merangkap ProCanselor Universiti Teknologi Petronas, Tan Sri Ahmad Nizam Salleh; Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Shahril Ridza Ridzuan; Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tengku Muhammad Taufik; Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson dan Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman.

Turut serta ialah Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K. Raman; Pengarah Urusan Infineon Technologies (Malaysia), Chee Hong Lee; Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh; Presiden Persatuan Pengusaha Kecil Dan Sederhana Malaysia, Datuk Michael Kang Hua Keong dan Presiden FMM, Tan Sri Datuk Soh Thian Lai.

Menerusi mesyuarat itu, katanya, Jabatan Perangkaan Malaysia memberi laporan situasi semasa ekosistem pekerjaan negara manakala Agensi Laksana memberi laporan bagi status kemajuan pelaksanaan program-program yang telah bermula di bawah inisiatif NEC.

Dalam pada itu, Pejabat Perdana Menteri berkata, walaupun negara masih berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan optimis sasaran yang ditetapkan dapat dicapai memandangkan strategi yang dirangka turut mengambil kira kepatuhan terhadap pelaksanaan PKP dan norma baharu.

Katanya, antara inisiatif norma baharu adalah penganjuran sebanyak 200 sesi webinar serta 180 sesi temuduga secara dalam talian.

Jelasnya, pelbagai promosi turut dijalankan bagi memastikan rakyat mendapat maklumat seterusnya memanfaatkan peluang yang ditawarkan.

“Setiap STF juga akan bekerjasama dengan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan setiap pelaksanaan bersifat inklusif.

“Rakyat yang terkesan atau sedang mencari pekerjaan boleh mendaftar di portal MyFutureJobs https://www.myfuturejobs.gov.my/ yang merupakan pusat hentian setempat dan rujukan utama bagi inisiatif berkaitan pekerjaan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, terdapat lebih daripada 200,000 peluang pekerjaan ditawarkan untuk pencari kerja dengan proses pemadanan calon dan industri turut disediakan menerusi portal itu.

Selain itu, katanya, portal berkenaan bertindak sebagai pusat sehenti bagi maklumat dan capaian inisiatif berkaitan pekerjaan termasuk program peningkatan kemahiran dan latihan semula, khidmat nasihat dan juga program semasa berkaitan pekerjaan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN