PELABUHAN KLANG: Cubaan membawa masuk lapan kontena barangan buangan elektrik dan elektronik terpakai gagal apabila Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berjaya mengesannya di Pelabuhan Barat di sini hari ini.
Barangan berupa papan litar bercetak dan pencetak terpakai seberat hampir 147,147 kilogram (kg) dirampas dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari, tadi.
Difahamkan, kesemua barangan itu dipercayai dibawa masuk bagi tujuan kitar semula.
Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, pemeriksaan tersebut adalah kerjasama Jabatan Kastam dan siasatan mendapati barangan buangan itu diimport dari Amerika Syarikat dan Hong Kong tanpa memiliki kelulusan daripada JAS.
Menurutnya, kesemua barangan buangan itu dipercayai akan dibawa ke beberapa buah premis di Lembah Klang untuk diproses.
“Kesemua barangan ini akan dilebur untuk mendapatkan logam-logam berharga seperti timah dan tembaga bagi pasaran negara ini.
“Kita telah mengeluarkan notis arahan kepada syarikat pengimport untuk memulangkan kontena tersebut ke negara asal di bawah prosedur Konvensyen Basel berkaitan Kawalan Pergerakan Bahan Berbahaya Dan Pelupusan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, pihaknya akan terus komited membanteras jenayah alam sekitar rentas sempadan dan mengelakkan negeri ini dijadikan tempat pelupusan buangan daripada negara asing. -UTUSAN ONLINE