126,000 individu disuntik vaksin setiap hari - Utusan Malaysia

126,000 individu disuntik vaksin setiap hari

DR. Adham Baba (kanan) melihat tempat penginapan pekerja asing di sebuah asrama di Taman Senai Utama, Kulai, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Seramai 126,000 individu dianggarkan akan menerima suntikan vaksin Covid-19  sehari menerusi Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 yang bermula 26 Februari ini. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, seramai tujuh petugas menyuntik vaksin (vaksinator) akan ditempatkan di setiap 600 lokasi vaksinasi yang telah ditetapkan di setiap lokaliti atau kawasan seluruh negara. 

“Tujuh vaksinator ini boleh memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada 30 individu setiap hari. Kerajaan menyasarkan menyuntik seramai 126,000 penerima vaksin sehari mulai hujung bulan ini.

“Fasa pertama penerima melibatkan golongan barisan hadapan iaitu anggota Kementerian Kesihatan yang terdedah kepada wabak serta petugas keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) selain beberapa kategori lagi yang ditetapkan kerajaan,” katanya. 

Beliau ditemui selepas membuat operasi bersepadu bersama petugas kesihatan, PDRM dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang menjalankan pemeriksaan ke tempat kerja dan tempat penginapan pekerja di sekitar Kawasan Perindustrian Senai, hari ini.

Bulan lalu, Adham melaporkan Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 negara akan bermula penghujung bulan ini melibatkan sebanyak sejuta vaksin dari Pfizer-BioNTech yang akan diagih dan disuntik bagi fasa pertama.

Sementara itu, beliau berkata, kesemua yang akan divaksin perlu mengisi dokumen khas yang dimuat turun di aplikasi MySejahtera atau borang yang dihantar oleh petugas khas seminggu sebelum mereka dijadualkan mengambil suntikan vaksin.

Jelasnya, penerima vaksin perlu mengikut jadual waktu yang telah ditetapkan bagi mengelak kesesakan di lokasi vaksinasi sekali gus melancarkan proses suntikan dibuat. 

“Fasa kedua Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 akan bermula pada Mac ini. Kita tidak perlu menunggu proses vaksin fasa pertama yang dijangka selesai April nanti sebelum menjalankan fasa kedua.

“Penerima vaksin fasa kedua membabitkan penerima warga emas berusia 60 tahun ke atas serta golongan rentan yang menghidap penyakit kronik termasuk diabetes dan darah tinggi,” katanya. 

Dalam pada itu, Adham menafikan berlaku kelewatan dalam pengagihan vaksin Covid-19 kepada rakyat seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Pengagihan vaksin adalah mengikut jadual dan tidak mengalami kelewatan kerana Malaysia sudah pun mendapatkan vaksin berkenaan secara rasmi daripada pembekal ditetapkan kerajaan,” katanya.

Ditanya mengenai vaksin bagi pekerja warga asing pula, beliau menjelaskan kerajaan akan mengutamakan Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 kepada rakyat tempatan dahulu sebelum meneliti keperluan buat warga asing. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN