KUBANG PASU: Seorang warga tempatan dan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas ketika cuba menyeludup 21 guni daun ketum seberat 923 kilogram dalam Op Benteng berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam di sini semalam.
PATI yang terdiri daripada sembilan lelaki Thailand dan seorang lelaki Indonesia berusia antara 20 tahun hingga 45 tahun itu ditahan di kawasan tanggung jawab Briged Keenam Infantri Malaysia kira-kira pukul 4.30 pagi.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan di sini berkata, daun ketum tersebut dipercayai mahu diseludup ke Thailand menggunakan 11 motosikal jenis Honda Wave.
“Pada pukul 4.30 pagi, anggota bertugas yang melakukan rondaan mengesan bunyi enjin motosikal dan ternampak sekumpulan individu bermotosikal bergerak menuju ke laluan yang disyaki sebagai laluan penyeludupan.
“Hasil penelitian mendapati kumpulan bermotosikal tersebut membawa guni yang dipercayai berisi daun ketum untuk diseludup ke Thailand,” katanya.
Katanya, anggota bertugas bertindak menahan kesemua suspek terlibat bersama 11 motosikal serta 21 guni berisi daun ketum.
“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM70,588 melibatkan daun ketum, kenderaan motosikal, wang tunai serta telefon bimbit,” katanya.
Tambahnya, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN ONLINE