10 lelaki leka berjudi, minum minuman keras ditahan - Utusan Malaysia

10 lelaki leka berjudi, minum minuman keras ditahan

ANGGOTA polis menahan 10 lelaki yang berjudi dan minum minuman keras di sebuah bangsal di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seramai 10 lelaki yang leka berjudi dan minum minuman keras ditahan di sebuah bangsal di Jalan Kuala Ketil di sini semalam.

Kesemua lelaki terbabit berusia antara 34 hingga 65 tahun ditahan oleh polis dalam Op Limau.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, serbuan dibuat selepas pihaknya mendapat maklumat berkaitan kegiatan perjudian di sebuah bangsal tersebut.

Menurutnya, semasa serbuan, polis menahan lima lelaki yang leka bermain judi pakau manakala lima lelaki lagi duduk berhampiran sambil minum minuman keras.

Katanya, mereka yang ditahan itu dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini untuk membantu siasatan.

“Lima lelaki berjudi itu disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Sementara itu, lima lelaki yang minum minuman keras pula dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No. 2) 2021,” katanya di sini hari ini.

Selain itu Adzli berkata, hasil semakan rekod mendapati tiga daripada lelaki yang berjudi itu mempunyai tujuh rekod jenayah termasuk berkaitan dadah.

“Kita turut merampas 52 keping daun terup dan wang tunai berjumlah RM623,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN