PUTRAJAYA: Kira-kira 1.85 juta atau 37 peratus daripada lima juta pelajar di seluruh negara tidak mempunyai sebarang peranti sekali gus menyukarkan mereka melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara dalam talian.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim berkata, disebabkan kekangan itu, Kementerian Pendidikan menyediakan slot program TV Pendidikan, DidikTV dengan mengambil kira jumlah 97 peratus isi rumah mempunyai televisyen.
Katanya, pelaksanaan PdPR mampu disampaikan kepada semua pelajar seramai mungkin dan memastikan tidak ada pelajar tercicir untuk mengikuti pembelajaran ketika tempoh penutupan sekolah ketika ini.
Bagaimanapun beliau berkata, kementerian telah menetapkan pelbagai kaedah PdPR lain yang boleh digunakan mengikut kesesuaian guru dan murid tidak hanya semata-mata menerusi dalam talian iaitu luar talian dan off-site.
“Hasrat mengadakan DidikTV supaya pembelajaran dapat disampaikan kepada semua pelajar yang merupakan cabaran dalam melaksanakan PdPR ini,” katanya dalam sidang akhbar berhubung Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 2.0 di Kementerian Pendidikan di sini hari ini.
Menurut Habibah, kajian pelaksaan PdPR pada tahun lalu mendapati ia menguasai 40 hingga 80 peratus.
Katanya, ia membuktikan bagaimana PdPR boleh berlaku selain membuat beberapa penambahbaikan antaranya bagaimana guru mengendalikan PdPR itu seperti berapa jumlah jam yang boleh dilaksanakan.
Selain faktor itu kata beliau, terdapat perbezaan apa yang boleh dicapai pelajar menerusi PdPR, namun rata-rata persepsi terhadap PdPR kebanyakannya menyatakan bahawa dari segi penyampaian kandungan itu kepada murid adalah antara 40 hingga 80 peratus.
“Ini bermakna bukan kosong peratus, ada yang berlangsung PdPR, 80 peratus itu adalah bagus, namun tahap 40 peratus itu boleh ditambah baik sekali gus PdPR ini pelajar masih boleh belajar dan mencapai tahap penguasaan yang dikehendaki walaupun tidak berlangsung dalam bilik darjah.
“Bagaimanapun kita tahu setiap sekolah atau kelas mempunyai keunikan tersendiri, sebab itu kementerian menyediakan modul PdPR sebagai panduan kepada guru dan kita mahu guru bekerjasama dengan kementerian dengan sokongan pihak sekolah, supaya PdPR boleh dilaksanakan secara lebih berkesan,” katanya.