ALOR SETAR: Pengeluaran hasil padi di kawasan sawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mencecah sebanyak 1.204 juta metrik tan bernilai RM1.87 bilion pada tahun lalu.
Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, jumlah pengeluaran hasil padi di kawasan MADA itu meningkat kepada 43 peratus pada tahun lalu berbanding sekitar 40 peratus pada tahun 2018.
Menurutnya, hasil pengeluaran hasil padi itu meliputi kawasan MADA seluas 100,685 hektar.
Katanya, purata hasil padi yang dikeluarkan pula sebanyak 5.98 metrik tan per hektar pada tahun lalu.
“Pihak MADA sentiasa optimis untuk terus menjadi penyumbang utama kepada pengeluaran padi negara melalui pelbagai program yang telah, sedang dan akan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan muka depan Mingguan Malaysia, Ahad lalu yang mendedahkan mengenai ‘kehilangan’ kira-kira 35,000 hektar tanah sawah di Kedah selepas ditukar kepada kegunaan lain seperti pembangunan industri dan perumahan dalam tempoh 10 tahun lalu.
Ahmad Tarmizi memberitahu, pada tahun 2011, MADA telah melaksanakan Projek Estet Padi di bawah program National Key Economic Area (NKEA) EPP 10 yang menyasarkan peningkatan hasil padi bagi setiap hektar kawasan sawah padi.
Tambahnya, kesinambungan program itu diteruskan dengan pelaksanaan Program Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) yang dimulakan pada tahun 2020 sebagai pemangkin kepada peningkatan hasil padi.
“Program ini mensasarkan penglibatan usahawan padi, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan pihak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mengusahakan sawah padi di dalam skala yang besar,” ujarnya.
Beliau menambah, sebagai langkah ke hadapan melalui Rancangan Malaysia Ke-12, MADA akan memfokuskan kepada penggunaan teknologi IR4.0 seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS) dalam membuat keputusan dan amaran awal, teknologi pertanian tepat bagi pengurusan ladang yang lebih efisien dan pembangunan peladang muda sebagai generasi pelapis.
Katanya, purata pengeluaran hasil padi di Kawasan Muda dijangka dapat ditingkatkan kepada 6.50 metrik tan sehektar menjelang tahun 2025.
“MADA yakin langkah yang dirancang ini dapat meningkatkan pengeluaran padi dan pendapatan peladang, sekali gus menjamin keselamatan pengeluaran makanan Negara dengan sokongan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta kerajaan negeri Kedah dan Perlis,” tambahnya. -UTUSAN ONLINE