JOHOR BAHRU: Ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula berkuatkuasa hari ini bagi negeri Johor, Yayasan Warisan Johor (YWJ) menghentikan sementara beberapa premis yang dioperasikan pihaknya.
YWJ dalam satu kenyataan memberitahu, tindakan itu diambil sebagai langkah pencegahan dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19 di negeri ini.
Jelasnya, penutupan sementara itu akan berkuatkuasa bermula hari ini hingga 26 Januari.
“Sebanyak sembilan premis yang ditutup sementara iaitu Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar; Pusat Dokumentasi Johor; Laman Seni Warisan; Galeri Tenun Johor dan Galeri Seni Johor.
“Turut ditutup adalah Galeri Dato’ Onn di Batu Pahat; Muzium Kota Tinggi, Muzium Mersing dan Muzium Tokoh di Johor Bahru,” menurut kenyataan itu.
Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan enam buah negeri akan dikenakan PKP selama dua minggu bermula hari ini dengan Johor merupakan antara negeri yang terlibat. – UTUSAN ONLINE