Yayaysan Pelajaran Mara teruskan usaha bantu pelajar B40

YPM terus bantu pelajar B40

MAS Ermieyati Samsudin (dua dari kiri) berbual dengan seorang bapa pelajar yang menerima bantuan persekolahan sambil diperhatikan Dr. Mohd. Nizar Sudin (kiri) dalam Program Back To School 2021@KPLB di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Masjid Tanah, Melaka, baru-baru ini. - FOTO/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASJID TANAH: Yayasan Pelajaran Mara (YPM) akan terus komited untuk membantu pelajar-pelajar daripada keluarga miskin di bandar dan luar bandar dalam memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima pendidikan dari sekolah rendah hingga menengah.

Pengerusi Eksekutif YPM, Datuk Dr. Mohd. Nizar Sudin berkata, sejak 50 tahun penubuhan YPM, pelajar-pelajar miskin akan dicari dan dikenal pasti untuk menerima pelbagai bentuk bantuan persekolahan bagi meringankan beban ibu bapa yang berpendapatan rendah.

Menurutnya, biarpun negara berhadapan dengan penularan Covid-19, usaha membantu pelajar yang memerlukan tetap diteruskan terutama menjelang pembukaan sesi persekolahan 2021 pada 20 Januari ini.

“Program Back To School YPM adalah salah satu bentuk bantuan yang diberikan melibatkan pemberian keperluan persekolahan kepada pelajar daripada keluarga B40 di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Pada tahun lalu seramai 31,758 pelajar sekolah menengah dan rendah menerima bantuan dengan kos keseluruhan berjumlah RM1.8 juta. Pada tahun ini jumlah pelajar meningkat kepada 44,400 dengan kos sebanyak RM2.6 juta,” ujarnya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran Program Back To School 2021@KPLB peringkat negeri Melaka yang telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) dekat sini semalam.

Mohd. Nizar berkata, bantuan awal persekolahan ini adalah dalam bentuk buku tulis, buku sekolah dan peralatan dengan kadar RM70 bagi pelajar sekolah menengah dan RM50 bagi pelajar sekolah rendah.

“Walaupun negara masih dilanda penularan Covid-19 dan banjir yang melanda beberapa negeri seperti Pahang, Kelantan, Johor, Terengganu dan Perak, program tersebut tetap diteruskan menjelang pembukaan sesi persekolahan pada 20 Januari ini,” ujarnya.

Dalam pada itu menurutnya, seramai 1,200 pelajar di negeri Melaka menerima bantuan barangan keperluan persekolahan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM72,000.

Bagi Parlimen Masjid Tanah kata Mohd. Nizar, seramai 300 pelajar menerima manfaat menerusi program tersebut dengan kos keseluruhan berjumlah RM103,140. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya