Yayasan Belia Malaysia bantu mangsa banjir di Pahang, Johor

YBM bantu mangsa banjir di Pahang, Johor

MUSTAPA OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Yayasan Belia Malay­sia (YBM) melaksanakan Pro­gram Pasca Banjir 2021 bagi membantu meringankan beban emosi dan keperluan mangsa di kawasan yang terjejas teruk akibat musibah itu yang melanda baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mustapa Othman berkata, program yang merupakan tajaan sepenuhnya CIMB Islamic Bank Berhad itu akan dilaksanakan di dua negeri bermula Pahang yang akan membabitkan daerah Raub, Lipis dan Temerloh.

“Program di Pahang akan diadakan selama dua hari bermula esok (29 Januari) di Raub dan Lipis dan selepas itu di Temerloh pada Sabtu. Selepas itu, kita ke Kota Tinggi, Johor pula pada 5 dan 6 Februari.

“YBM menyasarkan seba­nyak 500 buah keluarga di Pahang dan Johor akan menerima sumba­ngan program pasca banjir ber­kenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mustapa berkata, antara ban­tuan yang akan diberikan adalah barang keperluan asas seperti barangan dapur, peralatan dapur seperti tong gas dan dapur masak, tempat tidur seperti tikar, bantal dan tilam, sabun pencuci serta peralatan untuk member­sihkan rumah.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menyumbangkan al-Quran kepada setiap keluarga dan ke­perluan menunaikan solat se­perti telekung dan sejadah.

Selain itu katanya, ekoran pandemik Covid-19, YBM juga menyumbangkan pelitup muka dan cecair pencuci tangan bagi membendung penularan wabak itu.

“Penghantaran misi bantuan ini akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak keraja­an seperti pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal,” katanya.

SUHAIMI IBRAHIM

Sementara itu Pengerusi YBM, Datuk Suhaimi Ibrahim ber­kata, sejak dilancarkan pada 1982, pel­bagai program kemanusiaan dalam dan luar negara dilaksanakan yayasan berkenaan.

Jelasnya, fokus aktiviti yaya­san itu menjurus kepada kebajikan sosial dan ekonomi serta terlibat secara langsung dalam setiap program kebajikan yang diperlukan oleh masyarakat tanpa mengira warna kulit dan latar belakang kepercayaan.

Jelasnya, antara projek besar dilaksanakan di negara ini adalah pembinaan Kampung Wawasan Belia Peruang di Benta, Lipis yang dibina pada 1996.

Menurutnya, sebanyak 42 rumah bernilai RM15,000 sebuah dibina secara gotong-royong ba­gi keluarga tiada kediaman.

“Usaha YBM turut mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui kerja-kerja amal dan kebajikan seperti tsunami di Acheh dan gempa bumi di Jogjakarta dan golongan minoriti di Kemboja.

“Selain bantuan barangan keperluan asas, YBM juga membantu penduduk di beberapa buah kampung di negara berkenaan melalui pembinaan dewan dan pembaikkan semula sekolah dan masjid yang musnah ekoran bencana alam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya