YBM bantu 300 mangsa banjir di Pahang - Utusan Malaysia

YBM bantu 300 mangsa banjir di Pahang

MUSTAPA Othman (kanan) diiringi Suhaimi Ibrahim (kiri) menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan makanan kepada Syed Ali Syed Mohammad (tiga dari kanan) di Raub, Pahang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Nasib mangsa banjir di negeri ini yang turut terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat perhatian daripada Yayasan Belia Malaysia (YBM) yang tampil menghulurkan sumbangan.

Sumbangan berupa peralatan, keperluan makanan dan al-Quran mula disalurkan di Raub dan Lipis hari ini oleh YBM dengan kerjasama Kelab Rekreasi dan Sukan RadioTelevisyen Malaysia (RTM) Angkasapuri dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Agihan itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YBM, Datuk Mustapa Othman dan Pengerusi YBM, Datuk Dr. Suhaimi Ibrahim kepada Penasihat Kelab Kami Anak Raub, Datuk Syed Ali Syed Mohammad.   

Mustapa berkata, kira-kira 300 mangsa banjir melibatkan daerah Raub, Lipis dan Temerloh akan menerima bantuan berupa peralatan dan makanan.

“Disebabkan semasa banjir terdapat masalah pengangkutan dan jalan terputus selain Covid-19 yang melarang individu dari kawasan merah ke kawasan kuning maka kita turun membantu selepas banjir.

“Jadi, kita berharap bantuan ini akan dapat membantu dan mengurangkan beban masyarakat yang menjadi mangsa-mangsa banjir bagi meneruskan kehidupan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mustapa, bantuan yang dibiayai oleh CIMB Bank Islamic Berhad itu diberikan kepada NGO dan pihak terbabit di kawasan setempat untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang dikenalpasti.

Beliau memberitahu, antara barangan yang disumbangkan ialah tilam, bantal, selimut, barangan makanan, pelitup muka, pencuci tangan dan juga al-Quran kepada setiap keluarga Islam. 

Dalam pada itu, Syed Ali berkata, bantuan itu akan diagihkan kepada kira-kira 50 mangsa banjir yang terjejas teruk di sekitar Kampung Chenua yang amat memerlukan bantuan pada masa ini.

“Terima kasih kepada YBM yang tampil menyalurkan bantuan, sememangnya bantuan ini amat bermakna kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas teruk apatah lagi pada masa ini mereka juga terbeban akibat penularan pandemik Covid-19,”katanya. 

Sementara itu, Suhaimi berkata, YBM bukan sahaja konsisten dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir sejak dahulu tetapi memberikan pelbagai bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Katanya, selain bantuan kebajikan dalam negara, YBM juga terlibat dalam bantuan di luar negara seperti di Palestin dan juga dalam tragedi tsunami di Indonesia. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN