Yayasan UMP doa Uqail segera ditemukan - Utusan Malaysia

Yayasan UMP doa Uqail segera ditemukan

MANSUR Sulaiman (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kepada Mazayana Abdullah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) simpati dengan berita yang menimpa keluarga mahasiswa Fakulti Komputeran institusi pengajian tinggi (IPT) itu, Uqail Iskandar Zulkernain sehingga mengorbankan ayahnya, Zulkernain Itam di Jerantut, kelmarin. 

Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan seluruh warga universiti mengucapkan takziah buat keluarga dan mendoakan agar Uqail Iskandar segera ditemukan.

“Kita berdoa agar Uqail Iskandar yang masih hilang segera ditemukan sekali gus meredakan tekanan dan kesedihan yang sedang dihadapi keluarga itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan UMP berkata, pihaknya menyegerakan bantuan bencana banjir berupa barang keperluan dan makanan buat ahli keluarga Uqail Iskandar semalam.

Hadir menyampaikan sumbangan itu Dekan Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Prof. Madya Dr. Mansur Sulaiman kepada ibunya, Mazayana Abdullah. 

Yang hadir sama, Pengurus JHEPA, Zainal Bahari dan Nazrul Reza Nazeri.

Abdul Aziz berkata, lain-lain bantuan bakal menyusul dan pihaknya akan sentiasa memastikan kebajikan penuntut dan sokongan emosi buat keluarga terutamanya dalam berdepan dengan situasi sukar seperti itu. 

“Pada masa ini, pihak pengurusan universiti telah menggerakkan usaha membantu mangsa banjir terutamanya dalam kalangan penuntut dan staf melalui Jawatankuasa Bertindak  Bencana UMP. 

“Kita berharap para penuntut sentiasa berwaspada dan peka dengan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa selain sentiasa mengutamakan keselamatan ketika musim tengkujuh ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya