JOHOR BAHRU: Sebanyak RM35,000 dibelanjakan Yayasan Petronas menerusi kempen Sentuhan Kasih bagi menyantuni mereka di kawasan terjejas banjir di negeri ini pada awal Januari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Nelly Francis Shariah berkata, seramai 1,600 mangsa banjir turut dibantu pihaknya dengan pemberian bantuan barangan keperluan asas bagi meringankan beban mereka.
Pada masa sama, beliau berkata, Yayasan Petronas turut membantu menggerakkan aktiviti pemulihan dengan membaik pulih beberapa kemudahan komuniti seperti prasekolah dan balai raya di Kampung Laut dan Kampung Sepakat Baru.
“Bencana bah yang berlaku ketika negara dilanda penularan pandemik Covid-19 menyebabkan mangsa banjir terutamanya golongan B40 berdepan masalah kewangan yang getir untuk menyara keluarga.
“Menerusi program Sentuhan Kasih ini, kita membantu golongan terjejas dengan memberikan sumbangan bagi meringankan beban mereka ketika berdepan kesukaran ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada Isnin lalu, Petronas Wilayah Selatan mengedarkan perabot dan alat bantu belajar,
termasuk kerusi plastik, meja dan papan putih ke pusat bantuan bencana di Kampung Sepakat Baru dan Kampung Laut.
Penduduk kampung yang terjejas di kedua-dua lokasi juga masing-masing menerima tong silinder gas petroleum cecair (LPG) dan isian semula.
Nelly Francis berkata, Yayasan Petronas turut bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengenal pasti keperluan mangsa banjir di negeri lain.
Dalam pada itu, Ketua Petronas Wilayah Selatan, Sazli Zakaria berkata, banyak keluarga B40 masih berdepan kesukaran untuk membaik pulih rumah masing-masing serta menggantikan barang yang hilang dan rosak disebabkan banjir.
Katanya, pihaknya bekerjasama dengan Penghulu Mukim Tebrau, Hairul Hamid untuk membantu individu yang terjejas dan mengenal pasti kemudahan komuniti yang perlu dibaik pulih.
“Kami berharap sumbangan kecil ini dapat meringankan beban serta membolehkan mereka menyambung semula tugasan harian secepat mungkin,” katanya.- UTUSAN ONLINE