Yayasan Bank Rakyat bantu murid sekolah sempena Program Kembali ke Sekolah - Utusan Malaysia

Yayasan Bank Rakyat bantu murid sekolah sempena Program Kembali ke Sekolah

NAZIR Hussin Akhtar Hussin (belakang empat dari kiri) ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Kembali Ke Sekolah di ibu negara baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat menyediakan RM150,000 kepada 1,000 murid sekolah rendah dan menengah di sekitar Titiwangsa, Kampung Baru, Keramat dan Ampang bagi menerima bantuan persekolahan sempena Program Kembali ke Sekolah (Back To School) Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Prihatin dengan kekangan yang dihadapi oleh keluarga dan pelajar sekolah rendah dan menengah yang bakal memulakan persekolahan tidak lama lagi, satu sesi penyerahan barangan persekolahan disempurnakan Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin.

“Bantuan Back To School (BTS) yang diberikan ini juga membuktikan keprihatinan badan bukan berkeuntungan dalam menjalankan tanggungjawab bagi memastikan semua lapisan masyarakat dapat mengecapi limpahan ekonomi dalam negara,” katanya.

Nazir Hussin berkata, pelaksanaan bantuan itu adalah memberi peluang kepada golongan yang kurang berkemampuan membuat persiapan anak-anak untuk kembali ke sekolah dan diharapkan dapat mengurangkan bebanan yang perlu ditanggung oleh keluarga bagi sesi persekolahan yang baru.

Tambah beliau, bantuan persekolahan itu berupa set baju, kasut dan beg sekolah yang bernilai RM150 disediakan kepada setiap pelajar yang telah dikenal pasti dalam kalangan keluarga berpendapatan B40.

Katanya, sumbangan yang diterima pelajar-pelajar diharapkan dapat membantu mempertingkatkan minat mereka untuk hadir ke sekolah serta sebagai pembakar semangat belajar bersungguh-sungguh bagi memperoleh keputusan cemerlang.

“Bantuan ini turut diinspirasikan melalui penerapan elemen pembelajaran menyeronokkan bagi memastikan pelajar-pelajar ini sentiasa gembira ke sekolah sekali gus dapat melahirkan insan yang seimbang dan harmoni merangkumi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani,” katanya.

Program bantuan persekolahan anjuran YBR ini akan diagihkan ke 148 lokasi lain yang telah dikenal pasti kerana bukan sahaja dapat membantu keluarga serta murid-murid yang kurang bernasib baik dalam mendapatkan pendidikan yang terbaik malah membantu meningkatkan pencapaian pendidikan dalam negara supaya selaras matlamat Kementerian Pendidikan.

Sehingga tahun lalu, seramai 33,721 murid telah menerima manfaat melalui bantuan tersebut dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3.87 juta. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya