JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya membeli kit ujian pantas pengesanan Covid-19 yang dijual di media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, kit ujian pantas dijual itu berkemungkinan tidak mematuhi piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan.
Menurut beliau, ujian Covid-19 hanya boleh dilakukan oleh anggota yang telah dilatih oleh kementerian tersebut sahaja.
“Kebelakangan ini terdapat banyak penjualan kit ujian pantas Covid-19 dilakukan di Facebook bagi membolehkan orang ramai menjalankan ujian sendiri.
“Ujian Covid-19 hanya boleh dilakukan oleh anggota Kementerian Kesihatan terlatih yang mengikuti prosedur ketat dalam penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) dan pengurusan orang berjangkit.
“Maka, seseorang yang tidak terlatih tidak boleh menjalankan ujian kerana boleh mendedahkan diri kepada jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Vidyananthan turut memberitahu, Johor merekodkan 460 kes baharu semalam dengan 204 kes daripada kluster sedia ada, 101 kes daripada saringan kontak rapat manakala 155 kes daripada lain-lain saringan.
“Johor turut merekodkan dua kluster baharu semalam iaitu Kluster Tropika di Jalan Setia Tropika, Johor Bahru dan Kluster Pasir Barat melibatkan daerah Johor Bahru dan Kota Tinggi.
“Sehingga semalam, sebanyak 38 kes kluster aktif telah direkodkan di seluruh negeri ini,” ujarnya.
Tambah beliau, Johor buat julung kalinya juga telah menghantar seramai 106 pesakit positif Covid-19 ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di MAEPS, Selangor, semalam.
Pesakit yang merupakan warga asing itu telah dihantar melalui Pejabat Kesihatan Daerah Muar untuk menjalani rawatan selama 10 hari.
“Proses penghantaran itu diseleraskan Pejabat Daerah Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya. – UTUSAN