MARAN: Chenor perlu diwartakan sebagai daerah perkampungan alim ulama silam berikutan terdapatnya ulama tersohor dan turut ditemukan al-Quran bertulisan tangan serta lebih 12 batu nisan berukiran batu Acheh.
Pengkaji sejarah ulama Pahang, Barakatullah Mohd. Bahari, 39, berkata, berdasarkan perkara itu, ia membuktikan Chenor menjadi pusat perkembangan Islam sezaman kesultanan Acheh dan Melaka.
Beliau berkata, hubungan antara Chenor, Acheh dan Sumatera begitu sinonim berdasarkan kekeluargaan, kemajuan Islam dan peninggalan bukti batu nisan Acheh kepada ulama dan kerabat diraja Pahang.
“Sebenarnya tanah yang subur ini (Chenor) pernah dilawati dan didiami oleh ulama dan awliya sekali gus menjadi pusat perkembangan Islam dalam abad ke-16 lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Barakatullah yang juga Mudir Madrasah Raudhah Al-Muhibbin atau Pondok Pok Kob Chenor berkata, antara ulama yang ditemukan di daerah itu ialah Khatib Minhat (1700 ke 1800 masihi) dari Kampung Sawah Chenor yang menulis tangan al-Quran.
Selain itu ujarnya, Imam Salam iaitu seorang ulama dari Riau, Sumatera (1700 ke 1800 masihi) belajar dan menetap di Chenor.
“Sebenarnya Chenor pernah didiami ulama dan awliya antaranya Hamzah Fansuri, Abdul Rahman Limbung dan Munsyi Abdullah,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, sejarah Islam dikesan bertapak awal di negeri ini menerusi penemuan batu nisan di Pulau Tambu dan Permatang Pasir, Pekan yang tercatat tarikh dalam khat Arab pada 1028 masihi.
Katanya, ia dikuatkan lagi dengan penemuan batu nisan Acheh di makam Putri berdarah putih di Kampung Batu Gajah yang berada di sekitar Chenor yang diyakini Islam sudah bertapak lama di daerah ini 500 ke 600 tahun yang lampau. -UTUSAN ONLINE