KUANTAN: Tiada yang lebih menggembirakan warga emas di Kampung Tiram di sini apabila hasrat memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai.
Warga emas itu, Teh Embong, 65, menerima rumah baharu yang dibina dengan kos RM65,000 menerusi program bantuan Rumah Rakyat Pahang (RRP).
Majlis penyerahan kunci rumah itu disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid di Kampung Tiram di sini.
Mustaffar Kamal berkata, pada Mac tahun lalu, beliau diberi peluang mengenal pasti dan memilih tiga peserta untuk menerima RRP iaitu dua orang dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu dan seorang dari Parlimen Indera Mahkota.
“Peserta bagi DUN Semambu yang menerima bantuan pembangunan bina baharu rumah ialah Teh atau Mak Teh dan Zaharah Zainudin dari Kampung Tiram manakala, bagi peruntukan Parlimen Indera Mahkota saya memilih Rosnani Idris dari Kampung Cherating.
“Keutamaan peserta yang layak menerima bantuan ini ialah tersenarai dalam miskin tegar atau miskin yang didaftarkan dalam e-kasih dan merupakan warga emas berumur lebih 65 tahun atau orang kurang upaya (OKU) atau ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan ramai,” katanya di sini hari ini.
Mustaffar Kamal berkata, setelah selesai dokumentasi dan lawatan kerja daripada pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan, kerja pembinaan mula dilaksanakan pada September hingga Disember tahun lalu.
“Diharapkan semoga inisiatif ini (RRP) diteruskan oleh kerajaan negeri dalam menjamin keselesaan dan kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE