ARAU: Seorang warga emas yang baru lepas menunaikan solat Subuh di salah sebuah masjid di sini maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Arau-Kodiang berhampiran Masjid Negeri Arau di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 7.23 pagi itu, membabitkan mangsa Hussain Arshad, 77, yang menunggang motosikal jenis Yahama Ego dengan sebuah kereta jenis Toyota Prius yang dipandu seorang guru wanita berusia 40 tahun.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, siasatan awal mendapati kereta tersebut datang dari arah Arau dan sedang dalam perjalanan ke tempat kerja menghala ke Kodiang.
Katanya, apabila sampai di lokasi kejadian, motosikal yang berada di laluan sebelah kanan telah masuk ke laluan kereta terbabit yang ketika itu keluar dari lampu isyarat setelah selesai solat di Masjid Negeri Arau.
“Akibat jarak yang dekat, pemandu kereta terbabit tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa dari arah belakang,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, pihak ambulans telah membuat pemeriksaan dan mengesahkan mangsa meninggal dunia.
“Tiada tangkapan dilakukan dan bedah siasat juga tidak dilakukan atas permintaan waris.
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE