SEREMBAN: Cubaan seorang lelaki warga asing untuk melepasi sekatan jalan raya (SJR) gagal malah turut dikenakan kompaun sebanyak RM1,000.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, lelaki warga Indonesia berusia 30-an itu ditahan di Tol Seremban pada pukul 9.30 pagi tadi dan semasa ditahan lelaki itu mendakwa daripada Nilai menuju ke Senawang.
Tambahnya, pemeriksaan kemudian mendapati dakwaan lelaki itu tidak benar malah berdasarkan pasport lelaki itu beralamat di Kuala Lumpur.
“Apabila pihak kami membuat pemeriksaan lebih lanjut mendapati maklumat yang tidak berapa betul. Jadi polis keluarkan kompaun terhadapnya dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika melawat SJR di Tol Senawang dekat sini hari ini.
Mohamad menegaskan, polis akan terus mengeluarkan kompaun sekiranya ada pihak yang cuba melalui SJR dengan alasan tidak munasabah.
Sementara itu katanya, sebanyak 17 SJR di seluruh negeri ini telah bermula sejak tengah malam tadi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan kerajaan.
“Di Negeri Sembilan, kami juga telah mendirikan sekatan jalan raya di sempadan negeri iaitu dengan Pahang dan Melaka. Di daerah Seremban sahaja pula kita ada tujuh lokasi SJR yang kita wujudkan bagi memantau pergerakan perjalanan dari dan juga keluar Negeri Sembilan,” katanya. -UTUSAN