Wanita Orang Asli bakal bersalin naik helikopter ke hospital - Utusan Malaysia

Wanita Orang Asli bakal bersalin naik helikopter ke hospital

ZAHARAH Asop (kanan) ditemani adiknya menaiki helikopter Unit Udara JBPM untuk ke Hospital Gua Musang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Wanita Orang Asli dari Kampung Lalok, Pos Bihai di sini yang bakal bersalin pada bila-bila dibawa ke Hospital Gua Musang dengan menaiki helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), hari ini.

Wanita itu, Zaharah Asop, 34, yang mengalami sakit perut dan memiliki tanda mahu bersalin dibawa menaiki helikopter Agusta 109 E pada pukul 10 pagi ini.

Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farhan Marzuki berkata, pihaknya menerima laporan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Gombak, Selangor mengenai keadaan pesakit pada pukul 6 petang semalam.

Sehubungan itu, pihaknya mengambil tindakan segera dengan melakukan penerbangan Medical Evacuation (Medevac) untuk membantu wanita terbabit.

“Akibat cuaca buruk dan gelap, penerbangan tersebut dilaksanakan pukul 9 pagi ini dari Pangkalan Udara JBPM Subang dan sampai ke Kampung Lalok sejam kemudian bagi mengambil pesakit. 

“Pada pukul 10.20 pagi, pesakit bersama seorang pengiring yang juga adiknya, Ramlah, 26, mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dan terus dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans,” katanya.

Tambah Mohd. Farhan, pesakit dijangka bersalin pada minggu depan, namun dia mengadu sakit ingin bersalin sejak semalam.

Penerbangan kali ini dikendalikan juruterbang, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd. Faizal Abd. Latif, dengan dibantu penolong juruterbang, Penolong Penguasa Bomba, Fazli Ezham Jamil serta seorang lagi anggota.

“Jalan balak yang rosak akibat hujan lebat sejak minggu lalu menyebabkan pesakit tidak boleh dihantar menggunakan kenderaan pacuan empat roda. 

“Pihak kami bersedia membantu masyarakat Orang Asli yang sakit untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan berikutan lokasi mereka yang tinggal jauh di kawasan pedalaman,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya