SUNGAI PETANI: Kegiatan seorang wanita berusia 42 tahun yang menjadikan rumahnya sebagai sarang penagihan dadah berakhir apabila dia ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda di sini semalam.
Wanita yang positif dadah jenis methamphetamine itu merupakan antara sembilan yang ditahan dalam operasi cegah bermula pukul 9 pagi hingga 11.45 malam.
Ketua Pegawai AADK daerah itu, Arnida Ishak berkata, hasil risikan, pihaknya bertindak menahan wanita terbabit di sebuah rumah di taman perumahan di sini.
“Wanita itu dipercayai menjadikan rumahnya sebagai sarang penagihan dadah untuk dia dan penagih lain melepaskan gian,” katanya di sini hari ini.
Katanya, lapan lagi yang ditahan di sekitar Sungai Pasir, gurun dan Bedong itu melibatkan enam lelaki dan seorang wanita.
“Tujuh daripada mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala seorang lagi positif dadah jenis morfin,” ujarnya.
Tambahnya, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 42 tahun dan siasatan dilakukan mengikutnSeksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998. – UTUSAN