MELAKA: Seorang wanita berputih mata selepas wang wasiat tinggalan keluarganya termasuk wang simpanan bernilai RM2.08 juta miliknya lebur akibat terpedaya dengan seorang individu menyamar polis kononnya berpangkat datuk, awal bulan ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden E. Sundra Rajan berkata, kejadian berlaku selepas mangsa, seorang suri rumah yang berusia 49 tahun dihubungi individu tidak dikenali pada 10 Januari lalu.
Katanya, pemanggil memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan memaklumkan mangsa kononnya terlibat dengan aktiviti penjualan dadah serta penggubahan wang haram.
“Suspek juga telah menghantar gambar melalui aplikasi WhatsApp wanita berkenaan menunjukkan waran tangkap dan surat pembekuan aset miliknya.
“Mangsa yang ketakutan telah memberikan butiran akaun bank dan nombor kata laluan sekali guna (OTP) kepada suspek,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Ujar Sundra Rajan, mangsa yang mula curiga kemudiannya telah merujuk perkara tersebut kepada pihak bank dan dimaklumkan terdapat 164 kali transaksi pindahan wang dilakukan melalui kaedah DuitNow dalam perbankan internet berjumlah RM2,082,736.91 kepada 16 akaun berbeza.
“Mangsa yang menyedari telah ditipu kemudian membuat laporan polis dan menyatakan bahawa kesemua wang yang dipindahkan merupakan wang simpanannya dan wang wasiat peninggalan keluarga.
“Hasil semakan pihak polis mendapati nombor telefon 014-7410772 yang digunakan suspek terlibat dengan 13 laporan lain menggunakan modus operandi yang sama,” katanya.
Ujarnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan individu yang menyamar sebagai pihak polis atau sebagainya.
“Orang ramai boleh menyemak melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Check Scammers CCID di aplikasi Playstore supaya dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE