KOTA BHARU: Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida bersyukur selepas Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu menolak tuntutan hadanah yang dibuat oleh bekas suaminya, Mohd. Amin Yasin hari ini.
Bagaimanapun, dalam prosiding tuntutan hadhanah (hak lawatan, bermesra dan bermalam bersama anak-anak) oleh Mohd. Amin hari ini, Hakim Syarie Datuk Abu Bakar Abdullah Kutty memerintahkan dua beradik itu menghubungi bapa mereka sekurang-kurangnya sebulan sekali apabila mereka benar-benar sudah bersedia.
Sebelum ini, Mohd. Amin, 43, memohon hak lawatan, bermesra dan bermalam ke atas dua anaknya, Edlynn Zamileen, 16, atau Cik B dan Muhammad Eric Zaquan, 14, atau Kacak. Mohd Amin memfailkan tuntutan itu pada 3 November 2020 di mahkamah sama.
Sementara itu, Vida menegaskan, beliau tidak pernah menghalang anak-anak bertemu Mohd. Amin, sebaliknya mereka sendiri yang tidak bersedia berjumpa lelaki itu.
Mohd. Amin berkahwin dengan Vida pada 2000 dan dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Muhammad Eddie Zuhdie, Muhammad Edrie Zikrie, Edlynn Zamilleen dan Muhammad Eric Zaquan.
Pasangan itu bercerai pada 2008 iaitu kira-kira lapan tahun selepas mendirikan rumah tangga.
Pada 2013, Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikrie yang ketika itu masing-masing berusia 11 dan 10 tahun maut dalam kejadian kebakaran di rumah Vida di Meru Hill, Ipoh tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri. – UTUSAN