SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menyeru kepada kepemimpinan kerajaan di peringkat Persekutuan mahupun negeri serta rakyat untuk terus menumpahkan taat setia serta mempertahan dan melindungi negara ini bagi mendepani cabaran situasi semasa penularan Covid-19.
Titah baginda, kepentingan kestabilan negara perlu lebih diutamakan berbanding kecelaruan percaturan politik semasa yang meresahkan dan tidak berkesudahan.
“Sebagai pemimpin yang telah dibekalkan dengan amanah, berikanlah contoh teladan yang baik pada setiap masa dengan saling bergandingan dalam melahirkan buah fikiran yang bermanfaat demi kemaslahatan dan kepentingan rakyat dan bukan untuk kepentingan sempit kelompok tertentu sahaja,” titah baginda sempena Hari Keputeraan Ke-73 baginda hari ini.
Dalam pada itu, menyedari impak pandemik Covid-19 ke atas ekonomi, Tuanku Muhriz menggesa supaya kerajaan negeri teguh mengemudi pentadbiran dan kreatif mencorakkan strategi yang lebih dinamik dalam pelaksanaan pembangunan negeri ke arah pemulihan ekonomi.
“Usaha ini tidak hanya menuntut tanggungjawab di pihak kerajaan semata-mata tetapi perlu turut dipikul bersama oleh segenap lapisan masyarakat termasuk pihak swasta dalam menggembleng tenaga dan daya khidmat demi kesinambungan pembangunan dan kemajuan di Negeri Sembilan,” titah baginda.
Sementara itu, Tuanku Muhriz juga menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen serta dedikasi semua petugas barisan hadapan terutama dalam usaha kawalan wabak Covid-19.
“Beta berasa bangga dan amat menghargai komitmen serta dedikasi yang ditunjukkan oleh semua petugas barisan hadapan kesihatan juga kepada anggota-anggota polis dan tentera serta para sukarelawan daripada agensi swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu-individu yang telah memberi bantuan dengan pelbagai cara.
“Kerajaan beta juga telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk meringankan bebanan mereka yang lebih terkesan daripada impak pandemik ini menerusi bantuan kepada aktiviti ekonomi harian mereka. Beta yakin dan percaya kerajaan beta sentiasa meletakkan fokus dan keutamaan dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat jelata terjamin dan terbela,” titah baginda lagi.
Baginda dalam pada itu, mengingatkan sebagai sebuah negara majmuk, rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama serta budaya perlu sentiasa mewujudkan permuafakatan dan mengetepikan perbezaan demi mengekalkan keharmonian hidup bermasyarakat.
“Banjir yang berlaku di beberapa daerah baru-baru ini telah membuktikan tahap perpaduan dan keharmonian masyarakat di Negeri Sembilan. Tindakan pantas Kerajaan Negeri serta agensi-agensi yang terlibat dengan kerjasama masyarakat yang prihatin, dapat memastikan mangsa-mangsa banjir diberikan bantuan segera dan sokongan yang sebaiknya tanpa mengira latar belakang mereka.
“Seperti mana dalam situasi Covid-19, masyarakat telah membuktikan bahawa kita mampu bekerjasama dan tolong-menolong antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan. Beta menyeru agar semangat perpaduan ini terus diamalkan masyarakat sepanjang masa dan bukannya dalam situasi krisis sahaja,” baginda bertitah. – UTUSAN