KUALA LUMPUR: UMNO bersetuju untuk membawa usul majoriti perwakilan bahagian yang menolak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) ke Perhimpuan Agung UMNO (PAU) yang dijadualkan pada 31 Januari ini.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam ini juga sebulat suara memperhalusi semua usul yang dibangkitkan oleh 189 bahagian UMNO yang telah bersidang selama tiga hari baru-baru ini di seluruh negara antaranya mempertahankan hubungan kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN).
“UMNO malam ini akan terus mengukuhkan kerjasama dengan Pas menerusi MN mengambil kira sentimen permuafakatan yang telah dibina sepanjang 22 bulan bersama-sama sebagai pembangkang.
“Selain itu, parti ini juga menggesa agar PRU-15 dapat diadakan sebelum suku pertama tahun ini berakhir bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat, namun ia tertakluk kepada keadaan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Terdahulu, sumber daripada ketua-ketua bahagian mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sejumlah 189 daripada 191 bahagian UMNO di seluruh negara menolak sebarang bentuk kerjasama dengan PN dalam PRU-15 bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak 143 daripada 191 bahagian parti (74.8 peratus) enggan bekerjasama.
Keputusan itu hadir selepas UMNO mengadakan Mesyuarat Perwakilan Bahagian UMNO Bahagian Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri yang berlangsung secara serentak di seluruh negara selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad lalu sekali gus memberi tampatan hebat buat PN.
Mesyuarat pada malam ini dikatakan menjadi penentu kepada pendirian UMNO sama ada mahu terus bekerjasama atau menarik sokongan kepada PN rentetan usul yang dibawakan perwakilan bahagian, bagaimanapun, sangkaan itu meleset apabila tiada sebarang kenyataan jelas mengenai penolakan itu.
UMNO sebelum ini beberapa kali mengugut untuk menarik sokongan terhadap PN namun, Oktober lalu, UMNO memutuskan untuk terus mendukung PN, mengarahkan menteri serta timbalan menterinya kekal dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan selain menolak kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta DAP.
Mengulas lanjut, Shahril berkata, mesyuarat juga mengambil maklum mengenai pertukaran jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional yang sebelum ini disandang oleh Tan Sri Annuar Musa tetapi yang digalas semua secara tradisinya oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
“Perkara ini sudah mendapat persetujuan lisan Presiden-Presiden parti komponen dan akan diabsahkan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dalam masa terdekat,” katanya.