JERANTUT: Operasi mencari mahasiswa Fakulti Komputeran Universiti Malaysia Pahang (UMP) , Uqail Iskandar Zulkernain yang dihanyutkan arus ketika berjalan meredah banjir di Kampung Gintong diteruskan dengan membawa bersama salah seorang daripada ahli keluarganya yang terselamat.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Rosdi Mustafa berkata, usaha berkenaan dilakukan bagi mengenal pasti lokasi sebenar mangsa dilaporkan hilang.
“Operasi pencarian pada hari ini dilakukan dengan pencarian permukaan dan selaman oleh pasukan penyelam di kawasan yang dikenal pasti.
“Setakat ini mangsa masih belum ditemukan, operasi pencarian hari ini dihentikan petang ini dan akan disambung semula esok,” katanya di sini.
Semalam seorang kakitangan Pejabat Hutan Jerantut, Zulkarnain Hitam, 58, menjadi korban pertama banjir selepas lemas apabila dihanyutkan air ketika meredah banjir di Kampung Gintong di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu mangsa bersama tiga orang anaknya berjalan meredah banjir ke sebuah rumah di Kampung Sokti di sini.
Bagaimanapun apabila tiba di tempat kejadian mangsa dan anaknya dihanyutkan arus deras.
Mangsa kemudian ditemukan oleh dua anaknya manakala seorang lagi anaknya hilang dibawa arus.
Menurut Rosdi, operasi pencarian mangsa melibatkan 31 orang termasuk lima anggota bomba, lima pasukan selaman, seorang anggota polis, tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam dan 17 penduduk kampung. -UTUSAN ONLINE