Unit Udara Bomba bantu hantar 3.1 tan bekalan makanan - Utusan Malaysia

Unit Udara Bomba bantu hantar 3.1 tan bekalan makanan

HELIKOPTER Unit Udara JBPM digunakan menghantar bantuan bakul makanan kepada 172 keluarga Orang Asli yang terperangkap di Pos Gob, Gua Musang, Kelantan hari ini.-UTUSAN/ AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Khidmat Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini digunakan bagi menghantar 3.1 tan bekalan makanan kepada 172 keluarga Orang Asli di Pos Gob, di sini yang terputus jalan perhubungan sejak seminggu lalu.

Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) daerah, Muhamad Yusrizal Ghani berkata, bantuan itu terpaksa dihantar menggunakan helikopter Unit Udara JBPM kerana jalan balak dan jambatan perhubungan ke Pos Gob rosak teruk.

“Kita terima maklumat penduduk di pos itu terperangkap dan terputus bekalan makanan sejak seminggu lalu, tetapi, kita tidak dapat menghantar bantuan kerana jalan darat rosak selain hujan lebat.

“Kita terpaksa meminta bantuan Unit Udara JBPM untuk menghantar bantuan bakul makanan itu,” katanya kepada pemberita di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, di sini hari ini.      

Muhamad Yusrizal berkata, setiap keluarga Orang Asli akan menerima bakul makanan yang mengandungi beras, gula, minyak masak, garam, sardin, kicap, serbuk teh dan bihun.

Katanya, dalam masa terdekat ini pihaknya juga akan menghantar bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli di Pos Belatim, Pos Bihai dan Pos Simpor yang turut terputus hubungan dan memerlukan bantuan unit udara.

“Setakat ini, kita sudah berjaya mengagihkan bekalan makanan kepada 417 keluarga Orang Asli di Pos Lebir, Sungai Tako dan Kampung Bawek, lima hari lalu,” katanya. 

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Subang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farhan Marzuki berkata, bantuan penghantaran bekalan makanan itu dibuat menggunakan helikopter Agusta Westland 189.

Katanya, helikopter berlepas dari Pangkalan Subang pada pukul 9.35 pagi untuk mengambil bekalan di BBP Gua Musang sebelum berlepas ke Pos Gob untuk diagihkan kepada penduduk di situ. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya