ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menghantar seramai lapan sukarelawan bagi menyantuni 25 pelajar universiti tersebut yang terkesan akibat banjir di beberapa buah negeri dalam Misi Sukarelawan Unimap: Ops Kasih Banjir 2021.
Naib Canselornya, Prof. Dr. R Badlishah berkata, seramai 15 pelajar dari Pahang, Kelantan (dua), Terengganu (empat) dan masing-masing seorang di Kedah, Perak, Selangor serta Johor dikenal pasti terlibat dalam musibah tersebut.
“Sukarelawan dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu pasukan A yang akan bergerak ke Kelantan dan Terengganu dan pasukan B ke Kedah, Perak, Selangor, Johor dan Pahang.
“Misi ini akan dilaksanakan selama tiga hari bermula hari ini hingga 8 Januari dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pandemik Covid-19 yang sebaiknya,” katanya selepas melakukan pelepasan delegasi tersebut di sini hari ini
Yang turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimap, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan; Pengarah Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar (P3P) Unimap, Prof. Madya Ir. Dr. Muzammil Jusoh; dan Timbalannya, Dr. Norshah Aizat Shuaib serta Pengarah Keselamatan Unimap, Mustaffa Ismail.
Tambahnya, delegasi tersebut diketuai oleh Irhamuddin Mansor dari P3P.
Sementara itu, Badlishah memberitahu, pihak Unimap akan berkunjung ke tempat tinggal pelajar yang terkesan dan menyampaikan bantuan bagi meringankan beban pelajar dan keluarga mereka.
“Bentuk sumbangan yang akan diberikan adalah berupa wang tunai, makanan dan barang keperluan lain dan diharapkan dapat meringankan beban keluarga tersebut selain membantu mereka mengharungi musibah banjir.
“Malah selepas banjir reda, Unimap berhasrat untuk membantu dari segi kerja-kerja pembersihan kawasan tempat tinggal yang dilanda banjir dan program ini akan melibatkan kumpulan pelajar dari badan kokurikulum seperti Pegawai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) dan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) yang kita anggarkan seramai 40 orang,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut berharap agar pelajar yang menyertai misi sukarelawan ini akan terus berbakti kepada masyarakat walaupun selepas tamat belajar nanti.
“Semoga aktiviti sukarelawan yang disertai pelajar ini akan terus menyemarakkan semangat mereka untuk membantu masyarakat di sepanjang kehidupan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE