UMNO tetap pendirian tanding atas tiket BN - Utusan Malaysia

UMNO tetap pendirian tanding atas tiket BN

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: UMNO tetap dengan pendirian untuk bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) yang dijangka tahun ini.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana BN adalah sebuah gabungan politik yang besar, berjasa dan sudah dikenali rakyat termasuk menjadi simbol perkongsian kuasa antara parti politik.

Katanya, oleh yang demikian UMNO perlu mengukuhkan BN yang merupakan jenama politik yang sangat sebati dengan masyarakat majmuk Malaysia.

“Ideologinya sederhana, pendekatannya berasaskan muafakat dan pentadbirannya berhasil membangunkan Malaysia moden.

“Ini mesti menjadi wadah dan UMNO itu beri penyelesaian kepada cabaran Malaysia yang majmuk pada hari ini. UMNO dan Pas adalah kekuatan politik yang ampuh namun UMNO perlukan BN untuk urus sokongan bukan Melayu termasuk juga Sabah dan Sarawak.

“Tiada parti dapat bentuk kerajaan tanpa sokongan masyarakat berbilang kaum kerana itu UMNO perlu kembali ghairah kukuhkan BN dan bukan menerusi wadah lain,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, rakyat tahu BN bukan sekadar simbol atau logo semasa PRU sahaja sebaliknya ideologi yang sudah diterima berdekad-dekad lamanya berjaya ‘mengikat’ pelbagai kaum di negara ini.

Jelasnya, UMNO tidak memerlukan PN kerana gabungan tersebut dilihat tidak mampu menarik sokongan bukan Melayu dan penyertaan beberapa menteri bukan Melayu dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini sekadar ‘penyeri’ dan tidak lebih daripada itu.

“PN juga tidak mempunyai daya dan kekuatan sebenar untuk mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam yang mana peranan itu diterajui Muafakat Nasional (MN).

“PN tertubuh secara ‘ad hoc’ di peringkat ahli-ahli Parlimen tanpa persetujuan ahli akar umbi selain tidak mempunyai ideologi dan idealisme yang jelas serta tanpa misi yang strategik untuk Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu dalam sidang akhbar, bekas Menteri Besar Johor itu memberitahu, perancangan untuk UMNO menggunakan platform BN dalam PRU-15 bukan perkara baharu malah sudah disebut beberapa pemimpin parti sebelum ini.

Katanya, perbincangan juga diadakan dengan rakan di dalam PN bagi memastikan tidak berlaku pertembungan tiga penjuru pada PRU-15 nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya