TV Pendidikan sudah diwujudkan semula sejak PKP 1.0 - Utusan Malaysia

TV Pendidikan sudah diwujudkan semula sejak PKP 1.0

RADZI JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan telah pun mewujudkan semula TV Pendidikan yang disiarkan di televisyen konvensional pada 6 April tahun lalu iaitu sejurus selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada 18 Mac lalu.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, saluran itu mula diperkenalkan pada 1972 dan kemudiannya dipindahkan ke dalam talian melalui EduwebTV pada 1 Mac 2008.

Menurut beliau, bermula 1 Januari 2009, TV Pendidikan tidak lagi disiarkan di saluran TV konvensional.

“Kementerian telah mewujudkan semula TV Pendidikan konvensional bagi membantu murid yang tidak mempunyai akses internet atau peranti sesuai untuk mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Pada masa ini TV Pendidikan bersiaran selama sembilan jam sehari iaitu dua jam di TV Okey, empat Jam di Astro Tutor TV dan tiga jam di NTV7,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Mohd. Radzi berkata, bagaimanapun, pihak kementerian sedar jumlah masa siaran itu masih belum mencukupi dengan mengambil kira keadaan semasa.

Justeru, kementerian sentiasa berusaha untuk terus memperkasakan TV Pendidikan dengan pendekatan yang bersesuaian.

“Kementerian Pendidikan sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

Sebelum ini pelbagai pihak menyarankan Kementerian Pendidikan segera melaksanakan pembelajaran melalui saluran televisyen  secara komprehensif dan bersepadu sebagai alternatif kepada pembe­lajaran dalam talian sewaktu tempoh darurat ketika ini. 

Kaedah itu dilihat lebih sesuai memandangkan capaian kepada saluran televisyen seperti RTM terdapat di seluruh negara. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN