PETALING JAYA: Gara-gara mengeluarkan perkataan ‘tunggu esok, you mati’ terhadap seorang lelaki, seorang penjaga stor dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Muhammad Daniel Shahrizan Majuka, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mengugut itu.
Dia didakwa melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan kegentaran terhadap Mohd. Razi Osman, 40, dengan mengeluarkan perkataan tersebut di Jalan 18/62C, Perindustrian Serdang di sini, pada pukul 6.30 petang, 13 Januari lalu.
Bapa dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Majistret Zhafran Rahim Hamzah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,300 dan menetapkan 31 Mac ini sebagai sebutan kes.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM5,000.
Tertuduh yang diwakili peguam Chui Jing Hong merayu agar anak guamnya diikat jamin pada kadar rendah, dengan alasan perlu menyara isteri dan anak-anak. – UTUSAN ONLINE