PONTIAN: Gaji sebagai pengawal keselamatan tidak sebesar mana untuk menyediakan setiap anak gajet atau peralatan untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan lebih selesa.
Jika diikutkan hasrat hati, Ahmad Jati Mohd. Yusof, 51, mahu membeli telefon bimbit kepada lima anaknya, tetapi, apakan daya, gajinya RM1,600 sebulan hanya cukup untuk menampung perbelanjaan harian mereka sekeluarga.
Katanya, mujur anak kedua, Nur Fazrin Natasha, 17, yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibenarkan hadir ke sekolah secara bersemuka mulai 20 Januari lalu manakala empat lagi anaknya, Intan Zahira, 14; Nur Qamaria Fatihah, 10; Mohd. Zharif Haiqal, 8, dan Nuriy Naziha, 7, terpaksa belajar secara PdPR di rumah dengan kemudahan yang terhad.
“Mereka berempat berkongsi telefon isteri, Rohaya Taib, 40, secara bergilir-gilir untuk menerima modul latihan yang dihantar guru masing-masing dan apabila saya pulang dari kerja barulah mereka dapat gunakan telefon saya juga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Desa Baru, Kampung Sawah, di sini, hari ini.
Tambah Ahmad Jati, dia juga terpaksa menambah perbelanjaan sehingga RM70 sebulan untuk membeli data internet untuk kedua-dua telefon itu bagi memastikan anak-anaknya dapat menerima pembelajaran secara dalam talian.
Katanya, dia bercadang untuk membeli peranti internet untuk dipasang di rumahnya tetapi buat masa ini tiada akses liputan yang stabil di kawasan kampung mereka.
Sementara itu, katanya, anak sulung mereka, Nurfahana Azida, 22, pula menghidap penyakit TB Meningitis akibat demam panas sejak berusia 15 tahun selain membesarkan anak bongsu, Mohammad Luqmanhusaini, 4.
Katanya, Nurfahana Azida mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan serta dari Baitulmal sebanyak RM400 yang akan tamat pada penghujung bulan April ini.
Mengenai kehidupan keluarganya, Ahmad Jati memberitahu, daripada RM1,600 pendapatan yang diterima, RM1,000 digunakan untuk perbelanjaan harian termasuk duit saku untuk anak-anaknya yang bersekolah. -UTUSAN ONLINE