Tukang sapu sebak terima bantuan telefon pintar untuk kegunaan dua anak - Utusan Malaysia

Tukang sapu sebak terima bantuan telefon pintar untuk kegunaan dua anak

ROSNANI (kiri) membantu anak-anaknya Muhammad. Alif Irfan dan Fatin Noraimi Shahira menggunakan telefon pintar yang baru diterima mereka di Kampung Tanjung Baru, Kota Bharu semalam.-UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ibu yang bekerja sebagai tukang sapu terharu sehingga hampir menitiskan air mata apabila menerima sumbangan seunit telefon pintar untuk kegunaan dua anaknya mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Telefon pintar sumbangan badan amal itu diserahkan kepada wanita tersebut, Rosnani Ibrahim, 43, oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Che Deris, Mohammad Fadzil Mat Il di rumahnya di Kampung Tanjung  Baru, di sini semalam.

Kata Rosnani, dia bersyukur kerana ada pihak bersimpati terhadap nasib anak-anaknya yang tidak dapat mengikuti PdPR ekoran tidak memiliki telefon pintar atau komputer riba.

“Saya sangat terharu dan bersyukur dengan sumbangan telefon ini untuk kegunaan dua anak iaitu Muhammad Alif Irfan Yaso’, 9 tahun dan Fatin Noraimi Shahira, 8 tahun.

“Walaupun sudah empat hari ketinggalan, saya akan memastikan anak-anak menyiapkan kerja rumah diarahkan oleh guru mereka,’ katanya ketika ditemui pemberita.

Rosnani berkata, dia tidak mampu membeli keperluan telefon pintar atau komputer riba yang mencecah ratusan ringgit kerana pendapatan bulanannya sebagai tukang sapu hanya RM1,200 sebulan.

“Suami,  Yaso’  Ghani, 47, tidak bekerja kerana menghidap buasir serius sejak empat tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Fadzil berkata, keluarga Rosnani merupakan penerima pertama sumbangan telefon pintar itu yang akan diagihkan oleh pihak sekolah secepat mungkin.

“Berdasarkan maklumat, 30 peratus atau seramai 130 murid di sekolah kami dikenal pasti memerlukan alat telekomunikasi tersebut bagi sesi PdPR. Rata-rata mereka datang dari keluarga nelayan dan memang tidak mampu.

“Pihak sekolah akan berusaha sedaya upaya mendapatkan gajet itu secukupnya untuk diagihkan kepada murid yang memerlukan dengan kerjasama agensi luar atau para dermawan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN